Kisah Reunion Ex Mech Wing PULAMOR & Ex PULAMEK

Syukur kepadaNya, akhirnya, hari yang ditunggu-tunggu telah tiba dan majlis telah selesai dianjurkan. Buat julung-julung kalinya, Reunion Pertama Bekas-bekas Jurulatih dan Anggota Cawangan Mekanize PULAMOR dan PULAMEK telah berjaya dianjurkan pada Sabtu, 17 Febuari 2024, bertempat di Boat House, berhampiran Rumah Libur di Kem PULAMOR.

Sesungguhnya nostalgia dan kenangan lama itu muncul kembali, sebaik sahaja melintasi pintu pagar dan balai pengawal Kem PULAMOR, menjadi kenangan silam yang tidak dapat dilupakan, di pusat latihan inilah mereka yang pernah menjadi pelatih dan jurulatih pernah mengalirkan titik peluhnya dalam menjalankan tugas. Di kem ini lah tugas dan tanggung jawab digalas dan dilaksanakan , sebagai pelatih untuk lulus kursus kerjaya yang dihadiri, manakala sebagai Jurulatih mengajar dan mendidik pelatih hingga mahir dan faham dalam modul yang ditempuhi, dari modul memandu dan senggaraan, modul semboyan, modul senjata hinggalah ke modul taktik pertempuran. Disinilah nostalgia itu kembali menggamit kenangan pahit dan manis, suka dan duka, hiba atau gembira dan segala-galanya. Menjadi catatan sejarah semasa diusia muda, semasa tubuh badan cukup sihat dan cergas. Semasa segak dan bergaya dan pakaian seragam uniform mengendarai kenderaan perisai beroda dan runut, cukup indah untuk dikenang.

Kenangan dan nostalgia itu muncul kembali, kini usia masing-masing telah menjejaki lebih setengah abad, rata-ratanya telah menempuhi 3/4 usia kehidupan, hanya berbaki 1/4, malah ada yang dalam usia bonus. Ada yang masih sihat atau kelihatan sihat, ada yang sudah ada penyakit berangkai-rangkai, menjamah ubat dan pil setiap hari. Rambut yang telah bertukar warna dari hitam menjadi putih, ada yang sudah tiada rambut dan pelbagai ciri-ciri dimamah usia.

Walaupun begitu, mereka yang hadir reunion ini kelihatan begitu gembira, kerana setelah 20 tahun atau berbelas tahun tidak bersua. Cerita, kenangan dan pengalaman kisah lama muncul kembali, disusuli dengan gelak ketawa, hingga ‘terlupa’ isteri dan anak-anak yang dibawa bersama, tapi mereka pandai membawa diri. Hidangan makan tengahari yang enak dan lazat sama-sama dijamah, dirasai dan dinikmati. Ahli Jawatankuasa Penganjur bertungkus lumus menentukan penganjuran berjalan dengan lancar, ada yang sampai tak lalu nak makan kerana begitu teruja dengan suasana meriah yang dirasai. Hidangan dari katering Alias Best yang juga rakan seperjuangan dengan masakan kampung gulai daging salai masak lemak, ikan sembilang masak sambal dan ayam goreng berempah cukup menyelerakan. Hidangan Renang Ayam dengan Ketupat sumbangan dari Mustafa 1 juga sangat menyelerakan, ditambah lagi hidangan kerang rebus cicah sambal sumbangan dari Mustafa 2 juga menambah selera. Acara kejutan juga telah dibuat iaitu memotong dua buah kek sebagai penyeri majlis reunion. Terima kasih tidak terhingga kepada Sulaiman Barry, yang telah menyumbangkan kitab surah Yaasin semasa bacaan Yaasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Samrudin, khusus ditujukan kepada sahabat-sahabat yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita. Yong Tau Foo yang disumbangkan oleh Rosli Black juga sangat menyelerakan. Kemudian tepat jam 1500, telah dihidangkan minuman petang dengan hidangan Mee Goreng Mamak yang dimasak panas-panas dilokasi, termasuklah sandwich dan kuih muih.

Dalam ucapannya, Mej Jen Datuk Marzuki, Panglima Markas Latihan Tentera Darat, yang juga pernah menjadi Jurulatih Kanan Cawangan Mekanize sangat teruja dengan penganjuran majlis reunion ini. Beliau juga telah sama-sama menghadiri mesyuarat penubuhan Ahli Jawatankuasa Penaja kepada Persatuan Bekas Jurulatih Mekanize (Ex Mechanized Trainers Association) yang akan didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan dalam jangkamasa terdekat. Beliau telah memperuntukan masa hingga kehujung acara iaitu sehingga jam 5 petang, bersembang, berbual dan beramah mesra dengan semua veteran yang ada, yang berbagai ragam, ada yang berambut panjang, berjanggut putih dan berbagai sifat lanjut usia.

Ahli Jawatankuasa Penganjur juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada bekas-bekas OC Mech Wing yang hadir khususnya kepada Mej Jen (B) Datuk Halim, Mej Jen Dato Nahar dan Mej (B) Mohd Rizal. Tidak lupa juga kepada bekas-bekas Jurulatih Kanan iaitu Mej Jen Datuk Marzuki, Kapt (B) Halim, Kapt (B) Ravinthar dan Kapt (B) Sapuan. Ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada AJK Penganjur yang telah bertungkus lumus membuat persiapan, yang telah merancang reunion sejak bulan Oktober tahun lalu, membuat tinjauan tempat, bermesyuarat online beberapa kali, mengambil tempahan T-Shirt khas reunion dan jumlah kehadiran serta bayaran. Ucapan penghargaan ini khusus dirakamkan kepada Kapt (B) Sapuan, PW 1 (B) Othman bin Jantan, Mustafa Bob, Mustafa, Ahmad Nadzri, Hasbollah dan Sulaiman Barry selaku penggerak utama Ahli Jawatankuasa Penganjur Reunion.

Akhir kata, ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir yang tidak dapat dinyatakan namanya satu persatu, juga kepada Komandan PULAMOR dan SSO MSSPD atas kebenaran menggunakan kawasan boat house dan dua buah bilik Rumah Libur. Semoga reunion ini akan menjadi satu permulaan untuk penganjuran reunion yang akan datang dan merealisasikan penubuhan secara rasmi persatuan. Terima kasih, mudah-mudahan dapat berjumpa kembali pada reunion yang akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *